tik tok ku "SI PENYU "

kebesaran ILAHI

kerjakan sesuatu yang bermanfaat setiap hari :)


"Dalam ajaran ISLAM, masa untuk kita berkenal-kenalan dengan bakal pasangan kita adalah ketika tempoh pertunangan"

Ahad, 10 April 2011

Syifa' Binti Abdullah al-Adawiyyah r.a.

Syifa’ binti Abdullah al-Adawiyyah r.a.

Namanya Syifa’ binti Abdullah ibn Abd Syams al-Quraisyiyyah al-Adawiyyah. Ada pendapat mengatakan nama sebenarnya Laila binti Abdullah. Beliau adalah isteri kepada Abu Hathmah ibn Huzaifah ibn Ghanim al-Quraisy al-Adawi. Beliau dikurniakan seorang anak bernama Sulaiman bin Abu Hathmah, seorang lelaki yang dihormati sebagai orang yang kuat beragama di kalangan ummat Islam.


Kemuliaan

Nama adalah identiti dan pengenalan awal diri. Ia juga adalah sebuah doa dan harapan yang terawal dilakarkan oleh ibu bapa buat seorang anak. Sesuai dengan namanya Syifa’ memiliki kepakaran dalam istirqa’ iaitu suatu kaedah pengubatan dengan cara memberikan dorongan jiwa agar pesakit bermotivasi dan optimis untuk sembuh. Beliau adalah seorang sahabiah yang terkenal dengan kebaikan hatinya dan kepintarannya dan merupakan salah seorang daripada segelintir kau hawa Quraisy yang mahir menulis dan membaca. Beliau tergolong di kalangan sahabat dan sahabiah yang terawal memeluk Islam, ikut serta membaiah Rasulullah s.a.w. bersama sahabiah yang lain dan turut berhijrah ke Madinah.

Beliau turut memiliki kedudukan yang terhormat di sisi Ummahatul Mukminin, isteri-isteri Rasulullah s.a.w. As-Syifa’ sentiasa datang menjenguk Ummul Mukminin, Hafsah dan mengajarkannya menulis. Rasulullah s.a.w. telah menyuruh as-Syifa’ mengajarkan Hafsah menulis dan cara mengubati penyakit kulit dengan teknik ruqayyah. Diriwayatkan oleh Abu Daud, dari Syifa’ binti Abdullah bahawa dia berkata: “Rasulullah s.a.w. datang menjengukku dan aku sedang bersama Hafsah. Rasulullah berkata kepadaku, “Ajarkanlah Hafsah cara mengubati penyakit kulit dengan teknik ruqayyah sebagaimana engkau mengajarkannya menulis.”


Rasulullah s.a.w. menghormatinya dan bersaliturahim dengannya. Rasulullah s.a.w. juga telah memberinya sebuah rumah di Madinah. As-Syifa’ telah tinggal di rumah tersebut bersama anaknya Sulaiman.






Kepakaran dalam Perubatan
Pada zaman jahiliyyah, Syifa’ binti Abdullah mengubati sakit kulit dengan menggunakan ruqayyah. Setelah memeluk Islam, dia telah datang bertemu Rasulullah untuk meminta izin agar dapat meneruskan pekerjaannya itu. Ibnu Qayyum berkata bahawa di zaman jahiliyyah as-Syifa’ menggunakan ruqayyah untuk mengubati penyakit kulit. Ketika turut serta dalam hijrah dan membaiah Nabi s.a.w. dia telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.:

“Ya Rasulullah, pada zaman jahiliyyah aku mengubati penyakit kulit dengan cara ruqayyah dan aku ingin memperlihatkannya kepadamu.”


Syifa’ berkata, maksudnya: “Dengan nama Allah, sampai kembali ke asalnya dan tidak membahayakan seseorang pun. Ya Allah, Tuhan sekalian manusia. Hilangkanlah penyakit ini.”


Ibnu Qayyum berkata: “Syifa’ binti Abdullah membaca ruqayyah tersebut sebanyak tujuh kali ke atas sebuah dahan gaharu. Kemudian, dia menumbuknya sampai halus pada tempat yang bersih dengan menggunakan batu yang tajam. Setelah itu, dia akan menggoreskannya ke atas penyakit kulit tersebut.”


Setelah diizinkan oleh Rasulullah s.a.w. beliau meneruskan pekerjaannya itu.As-syifa’ juga menyertai beberapa peperangan sebagai tentera dan juga pasukan perubatan.


Bersama Umar al-Khattab

Syifa’ binti Abdullah mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Umar al-Khattab r.a. sebagaimana mulianya as-Syifa’ di sisi Rasulullah s.a.w. Sayyidina Umar selalu mengutamakan as-Syifa’ dalam hal pandangan. Bahkan, beliau turut memberi kepercayaan kepada as-Syifa’ dengan melantiknya sebagai seorang qadhi di pasar. As-Syifa’ adalah Muslimah pertama memegang jawatan itu. Beliau memikul tugas tersebut dengan penuh amanah dan tegas.

Pada suatu hari, as-Syifa’ elihat sekelompok anak muda berjalan dengan perlahan dan bercakap dengan lambatnya. As-Syifa’ bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah ahli ibadah.” As-Syifa’ membalas: “Demi Allah! Dahulu Umar ibn Khattab berjalan dengan pantas, bercakap dengan lantang dan apabila memukul pasti sangat sakit dan dialah sebenarnya yang disebut sebagai ahli ibadah.”


Umar Ibn Khattab sentiasa datang menjenguk as-Syifa’ dan bertanyakan keadaannya, anak dan suaminya. Umar juga kerap membimbing mereka kepada kebaikan kalau keadaan memerlukan. Syifa’ binti Abdullah berkata: “Umar ibn Khattab datang ke rumahku. Dia melihat dua orang lelaki tertidur di rumahku (suami dan anak as-Syifa’). Umar ibn Khattab bertanya: “Ada apa dengan dua orang lelaki ini sehingga mereka tidak solat berjemaah dengan kami?” Aku menjawab: “Ya Amirul Mukminin! Mereka berdua solat bersama yang lain – ketika itu bulan Ramadhan – mereka terus solat berdua sampai datang waktu Subuh. Setelah mereka solat Subuh, mereka tidur. Umar ibn Khattab berkata: “Solat Subuh berjemaah bersama yang lain lebih baik bagiku daripada solat sepanjang malam sampai datang Subuh.” Hal ini menunjukkan pemahaman fiqh Umar yang mendalam dan bimbingan halus daripadanya yang berlandaskan sunnah Rasulullah s.a.w dan anjuran untuk menghadiri solat jemaah.


As-Syifa’ dan Hadis Rasulullah s.a.w.

As-Syifa’ r.a. juga sempat meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. secara terus dan dari Umar al-Khattab. Adapun yang meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. daripada as-Syifa’ adalah anaknya Sulaiman, kedua cucunya Abu Bakar bin Sulaiman dan Utsman bin Sulaiman, hamba sahayanya Abu Ishaq dan Hafsah Ummul Mukminin.


Di antara riwayatnya, bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang sebaik-baik pekerjaan. Baginda menjawab: “Beriman kepada Allah, jihad di jalanNya dan haji yang mabrur.”

As-Syifa’ menghabiskan hayatnya untuk menuntut ilmu, beramal, berzuhud dan beribadah sehingga ajal menjemputnya pada zaman khalifah Umar al-Khattab pada tahun 20H.

Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dari Ilahi. Marilah kita berdoa: “Ya Allah, Tuhan sekalian manusia. Hilangkanlah penyakit ini.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan